//Teenage Blog. <body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d1206406701696025775\x26blogName\x3dTwoKThree+%7C+Every+Me+Every+You+:)\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://2k3smksbahiyah.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_GB\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://2k3smksbahiyah.blogspot.com/\x26vt\x3d6061925665395234380', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
2 K 3


FAEDAH KOKURIKULUM
Saturday 12 May 2012 01:14 | 01:14 | 0 Love


    Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum. Ada banyak faedah kegiatan kokurikulum.
     Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah aktiviti itu dapat memenuhkan masa lapang. Mereka tiada masa untuk terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah.  Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.
     Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Ahli jawatankuasa juga belajar menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
     Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, kita mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan rugi. Hal ini kerana masa latihan itu sudah dibazirkan. Dengan menepati masa, kita sudah mematuh disiplin. Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.
     Tambahan pula, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Sekurang-kurangnya latihan itu dijalankan tiga kali seminggu. Dengan latihan itu kita akan menjadi cergas. Kita akan mengeluarkan peluh. Badan kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita tidak akan mudah sakit.
     Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka.
     Oleh itu, dengan kegiatan kokurikulum, perpaduan kaum dapat diwujudkan. Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Labels:




Bahasa Asing
01:13 | 01:13 | 0 Love

Dalam dunia yang terbentang luas ini, terdapat pelbagai negara. Di setiap negara pula, ada pelbagai bahasa. Antara bahasa yang telah diiktiraf sebagai bahasa dunia ialah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Cina dan bahasa Rusia. Bahasa ini diterima sebagai bahasa dunia kerana bahasa ini mempunyai bilangan penutur yang tinggi dan banyak ilmu yang dibukukan dalam bahasa tersebut. Sebagai rakyat Malaysia, kita digalakkan untuk menguasai bahasa tersebut. Terdapat banyak kepentingan yang akan kita peroleh, jika kita menguasai bahasa asing.

Antara kepentingan bahasa asing termasuklah kita dapat menjalinkan hubungan dua hala dengan lebih mudah dan berkesan dengan negara lain. Sebagai negara yang bebas dan berkecuali, negara kita banyak menjalinkan hubungan dua hala dengan negara lain seperti hubungan perdagangan, politik dan keselamatan. Dalam hal ini, rakyat negara kita terlibat dalam banyak perkara di negara-negara yang berkenaan. Dalam kebanyakan hubungan ini, kita perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara maju di dunia dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, apabila kita menguasai bahasa Inggeris, kita telah berjaya menjalinkan hubungan perdagangan secara dua hala dengan negara Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai pasaran ekonomi yang luas. Hal ini menguntungkan negara kita dengan mengembangkan dan meluaskan pasaran ekonomi yang sedia ada. Oleh itu, penguasaan dalam bahasa asing akan memudahkan kita untuk memajukan ekonomi negara dengan menjalinkan hubungan dengan negara lain.

Selain itu, penguasaan dalam bahasa asing juga dapat menambah ilmu pengetahuan seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai ilmu yang bermanfaat telah dibukukan atau diterbitkan dalam pelbagai bahasa asing. Melalui penguasaan pelbagai bahasa asing, kita akan dapat membaca buku karya penulis-penulis besar di dunia. Sebagai contohnya, hasil-hasil karya penulis agung Eropah seperti karya Tome Pires yang ditulis dalam bahasa Belanda dan hasil karya falsafah karya Socrates yang ditulis dalam bahasa Yunani dan sebagainya dapat dikaji dan dimanfaatkan sepenuhnya jika kita menguasai bahasa tersebut. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung dengan tidak mengetahui hal semasa dan ilmu yang telah sedia ada. Pepatah Melayu juga menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Semakin banyak bahan yang kita baca, semakin banyak ilmu yang akan kita peroleh. Oleh itu, dengan menguasai bahasa asing, kita dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di seluruh dunia.

Di samping itu, kita juga dapat mendalami dan memahami budaya penduduk dari luar negara. Hal ini penting kerana apabila kita berada di negara orang lain, kita mestilah memahami adat dan budaya mereka. Pepatah Melayu mengatakan bahawa di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita junjung. Sebagai contohnya, dengan mempelajari bahasa Jepun, kita dapat memahami budaya dan tradisi hidup mereka dengan lebih mendalam apabila kita bergaul dengan mereka. Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya mereka atau yang boleh menyinggung perasan mereka. Oleh itu, kita akan menghargai dan menghormati sesuatu budaya lain dengan memahami bahasa mereka.

Bukan itu sahaja, perkongsian teknologi antara negara maju dengan negara membangun juga memerlukan pengetahuan dalam bahasa asing. Kebanyakan negara maju di dunia menggunakan bahasa ibunda mereka dalam teknologi yang telah dihasilkan. Untuk mempelajari teknologi yang dicipta oleh mereka, kita harus menguasai bahasa mereka agar memudahkan pemahaman kita terhadap teknologi tersebut. Sebagai contohnya, angkasawan Malaysia yang pertama, iaitu Dr. Sheikh Muszafar telah dihantar ke Rusia dan beliau dikehendaki mempelajari dan menguasai bahasa Rusia sebagai persediaan untuk ke angkasa. Beliau perlu menguasai bahasa Rusia kerana kelengkapan yang digunakan semuanya menggunakan bahasa tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang kesulitan, kita dikehendaki menguasai bahasa asing untuk memudahkan sebarang urusan.

Seterusnya, pemindahan ilmu akan menjadi lebih lancar jika kita menguasai bahasa asing. Apabila kita belajar di luar negara, terdapat pelbagai ilmu yang akan kita peroleh. Penguasaan ilmu itu akan menjadi sia-sia atau tidak bermakna jika kita tidak dapat memindahkannya dalam bahasa sendiri untuk disebarkan. Namun, apabila kita menguasai bahasa asing kita akan dapat memindahkan ilmu itu kepada rakyat di negara kita dengan lebih mudah dengan menggunakan bahasa kita sendiri. Sebagai contohnya, rakyat Jepun memanfaatkan ilmu yang diperoleh dari negara lain dengan menterjemahkan ilmu dan teknologinya dalam bahasa mereka. Hal ini menyebabkan rakyat Jepun telah memperoleh ilmu baharu dari negara lain. Bukan itu sahaja, mereka pula dapat memajukan ilmu yang diperoleh itu dengan membuat penambahbaikan dan menghasilkan ciptaan yang lebih baik. Tegasnya, melalui penguasaan yang baik dalam bahasa asing, kita dapat memindahkan ilmu dari bahasa asing kepada bahasa kita.

Kesimpulannya, penguasaan bahasa asing sangat mustahak untuk berhubung dengan masyarakat luar. Walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, namun bahasa asing amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa asing membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara langsungnya mempercepat pembangunan negara. Oleh itu, bahasa asing merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

Labels:




Peranan Ibu Bapa Galakkan Anak Aktif dalam Bidang Suka
01:09 | 01:09 | 0 Love


       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Labels:




bencana alam
01:02 | 01:02 | 0 Love


    Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tiddak terancam.

     Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.


posted by : http://klikbm.blogspot.com/2010/10/karangan-spm-2010-bencana-alam.html

Labels:




Disiplin Asas Kejayaan
Monday 30 April 2012 16:38 | 16:38 | 0 Love


Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah . Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan .
Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu , pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .

Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .


Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .

Labels:




isu tabiat merokok
16:38 | 16:38 | 0 Love

Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.


Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."

Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.


Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.


Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.


Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."

Labels:




ponteng sekolah
16:34 | 16:34 | 0 Love


Beberapa hari kebelakangan ini, orang ramai mula heboh memperkatakan mengenai fenomena ponteng sekolah di kalangan pelajar. Isu ini mula mendapat tempat di media massaapabila Pengarah Pelajaran sebuah negeri membuat kenyataan bahawa separuh daripada pelajar di sebuah sekolah ponteng pada hari Khamis dan Jumaat. Isu tersebut semakin mendapat perhatian apabila seorang Timbalan Menteri menyatakan bahawa guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca utama peningkatan peratusan pelajar yang ponteng sekolah ini ibaratmakan gaji buta. Persoalannya, benarkah guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca mengapa pelajar ponteng?
Punca utama pelajar ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk bersekolah. Kebanyakan pelajar ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas untuk membuat latihan yang diberikan oleh guru dan mereka bukannya ulat buku. Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan kerana terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari di samping terpaksa membuat pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan penyelesaian yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam kategori ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai pakaian sekolah yang lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah, sebaliknya mereka berkumpul di mana-mana tempat lain untuk berseronok-seronok. Di kawasan pekan atau bandar, tempat yang menjadi tumpuan utama pelajar seperti ini adalah pusat snuker atau pusat permainan video.
Kurangnya pemantauan ibu bapa yang seperti melepaskan batuk di tangga juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak-anak berani untuk ponteng sekolah. Sebilangan ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari nafkah tambahan bagi anak-anak mereka sehingga mereka tidak menyedari serta mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak mereka di luar rumah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila sesetengah ibu bapa enggan datang ke sekolah bagi membincangkan permasalahan anak mereka. Ini menyulitkan lagi proses untuk menangani pelajar-pelajar yang bermasalah seperti ini.
Memang tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah guru yang tidak pandai mengajar atau tidak menunjukkan kesungguhan di bilik darjah sehingga membuatkan pelajar bosan lalu ponteng sekolah. Namun bilangan guru yang bersikap seperti ini sangat kecil. Hal ini dibuktikan oleh Dt. Amirah Latif dan Dr. Adillah Syazwani Khairi, dua orang pensyarah pendidikan di Universiti Malaya dalam kajian mereka tentang punca pelajar ponteng di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang. Dalam kajian yang melibatkan 125 orang pelajar yang pernah ponteng sekolah, hanya 10 orang pelajar yang menyatakan bahawa mereka bosan dengan cara pengajaran guru. Lain-lain menyatakan bahawa mereka ponteng kerana kurangnya minat untuk belajar, suka mengikut kawan-kawan dan tidak kurang juga yang melakukan kerja sambilan.
Biar apa pun puncanya pelajar ponteng sekolah, perkara penting yang patut difikirkan adalah cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, semakin ramai pelajar yang akan membuat keputusan untuk ponteng sekolah. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama yang padu kepada pihak sekolah untuk mengatasi fenomena ini. Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab untuk membentuk, mendidik serta mengawasi anak-anak mereka kepada pihak sekolah sepenuhnya, tetapi mereka juga harus memainkan peranan dalam mengawasi kegiatan anak mereka di luar sekolah. Jika tidak, anak-anak mereka akan menjadi tidak terkawal dan bebas untuk berkeliaran di luar sekolah.
Kesimpulannya, fenomena ponteng sekolah bukanlah satu gejala yang tidak boleh ditangani. Dengan adanya kerjasama yang kukuh dan padu daripada semua pihak, sudah pasti gejala ini akan berkurangan ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Semua pihak khasnya ibu bapa, pihak sekolah, pihak PIBG, serta masyarakat sekeliling harus menggembleng tenaga dan bersatu padu untuk mengurangkan gejala ponteng sekolah ini.

Labels: