//Teenage Blog. <body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d1206406701696025775\x26blogName\x3dTwoKThree+%7C+Every+Me+Every+You+:)\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://2k3smksbahiyah.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_GB\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://2k3smksbahiyah.blogspot.com/\x26vt\x3d6061925665395234380', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
2 K 3


Bahasa Asing
Saturday 12 May 2012 01:13 | 01:13 | 0 Love

Dalam dunia yang terbentang luas ini, terdapat pelbagai negara. Di setiap negara pula, ada pelbagai bahasa. Antara bahasa yang telah diiktiraf sebagai bahasa dunia ialah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Cina dan bahasa Rusia. Bahasa ini diterima sebagai bahasa dunia kerana bahasa ini mempunyai bilangan penutur yang tinggi dan banyak ilmu yang dibukukan dalam bahasa tersebut. Sebagai rakyat Malaysia, kita digalakkan untuk menguasai bahasa tersebut. Terdapat banyak kepentingan yang akan kita peroleh, jika kita menguasai bahasa asing.

Antara kepentingan bahasa asing termasuklah kita dapat menjalinkan hubungan dua hala dengan lebih mudah dan berkesan dengan negara lain. Sebagai negara yang bebas dan berkecuali, negara kita banyak menjalinkan hubungan dua hala dengan negara lain seperti hubungan perdagangan, politik dan keselamatan. Dalam hal ini, rakyat negara kita terlibat dalam banyak perkara di negara-negara yang berkenaan. Dalam kebanyakan hubungan ini, kita perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara maju di dunia dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, apabila kita menguasai bahasa Inggeris, kita telah berjaya menjalinkan hubungan perdagangan secara dua hala dengan negara Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai pasaran ekonomi yang luas. Hal ini menguntungkan negara kita dengan mengembangkan dan meluaskan pasaran ekonomi yang sedia ada. Oleh itu, penguasaan dalam bahasa asing akan memudahkan kita untuk memajukan ekonomi negara dengan menjalinkan hubungan dengan negara lain.

Selain itu, penguasaan dalam bahasa asing juga dapat menambah ilmu pengetahuan seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai ilmu yang bermanfaat telah dibukukan atau diterbitkan dalam pelbagai bahasa asing. Melalui penguasaan pelbagai bahasa asing, kita akan dapat membaca buku karya penulis-penulis besar di dunia. Sebagai contohnya, hasil-hasil karya penulis agung Eropah seperti karya Tome Pires yang ditulis dalam bahasa Belanda dan hasil karya falsafah karya Socrates yang ditulis dalam bahasa Yunani dan sebagainya dapat dikaji dan dimanfaatkan sepenuhnya jika kita menguasai bahasa tersebut. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung dengan tidak mengetahui hal semasa dan ilmu yang telah sedia ada. Pepatah Melayu juga menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Semakin banyak bahan yang kita baca, semakin banyak ilmu yang akan kita peroleh. Oleh itu, dengan menguasai bahasa asing, kita dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di seluruh dunia.

Di samping itu, kita juga dapat mendalami dan memahami budaya penduduk dari luar negara. Hal ini penting kerana apabila kita berada di negara orang lain, kita mestilah memahami adat dan budaya mereka. Pepatah Melayu mengatakan bahawa di mana bumi kita pijak, di situlah langit kita junjung. Sebagai contohnya, dengan mempelajari bahasa Jepun, kita dapat memahami budaya dan tradisi hidup mereka dengan lebih mendalam apabila kita bergaul dengan mereka. Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya mereka atau yang boleh menyinggung perasan mereka. Oleh itu, kita akan menghargai dan menghormati sesuatu budaya lain dengan memahami bahasa mereka.

Bukan itu sahaja, perkongsian teknologi antara negara maju dengan negara membangun juga memerlukan pengetahuan dalam bahasa asing. Kebanyakan negara maju di dunia menggunakan bahasa ibunda mereka dalam teknologi yang telah dihasilkan. Untuk mempelajari teknologi yang dicipta oleh mereka, kita harus menguasai bahasa mereka agar memudahkan pemahaman kita terhadap teknologi tersebut. Sebagai contohnya, angkasawan Malaysia yang pertama, iaitu Dr. Sheikh Muszafar telah dihantar ke Rusia dan beliau dikehendaki mempelajari dan menguasai bahasa Rusia sebagai persediaan untuk ke angkasa. Beliau perlu menguasai bahasa Rusia kerana kelengkapan yang digunakan semuanya menggunakan bahasa tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang kesulitan, kita dikehendaki menguasai bahasa asing untuk memudahkan sebarang urusan.

Seterusnya, pemindahan ilmu akan menjadi lebih lancar jika kita menguasai bahasa asing. Apabila kita belajar di luar negara, terdapat pelbagai ilmu yang akan kita peroleh. Penguasaan ilmu itu akan menjadi sia-sia atau tidak bermakna jika kita tidak dapat memindahkannya dalam bahasa sendiri untuk disebarkan. Namun, apabila kita menguasai bahasa asing kita akan dapat memindahkan ilmu itu kepada rakyat di negara kita dengan lebih mudah dengan menggunakan bahasa kita sendiri. Sebagai contohnya, rakyat Jepun memanfaatkan ilmu yang diperoleh dari negara lain dengan menterjemahkan ilmu dan teknologinya dalam bahasa mereka. Hal ini menyebabkan rakyat Jepun telah memperoleh ilmu baharu dari negara lain. Bukan itu sahaja, mereka pula dapat memajukan ilmu yang diperoleh itu dengan membuat penambahbaikan dan menghasilkan ciptaan yang lebih baik. Tegasnya, melalui penguasaan yang baik dalam bahasa asing, kita dapat memindahkan ilmu dari bahasa asing kepada bahasa kita.

Kesimpulannya, penguasaan bahasa asing sangat mustahak untuk berhubung dengan masyarakat luar. Walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, namun bahasa asing amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa asing membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara langsungnya mempercepat pembangunan negara. Oleh itu, bahasa asing merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

Labels: